Mereka sepatutnya hanya melawan kantuk, bukannya penyamun

Keluarga Allahyarham Raja Noriana Raja Ahmad sepatutnya mengadap hidangan sahur dalam keadaan biasa: sedikit mamai dan cuba dipancing selera sambil melawan kantuk. Bagaimanapun, kira-kira jam 4 pagi kelmarin, mereka terpaksa melawan penceroboh yang mahu menyamun.

Dua penyamun itu menceroboh lewat tingkap tandas di belakan rumah dengan mengumpil jeriji, sebelum naik ke tingkat atas dengan menjadikan mangsa sebagai sasaran serta mengikat tangan dan mulut anak perempuannya di dalam bilik yang lain.

Mereka yang bersenjatakan pistol, parang, pisau dan pemotong mangga besi bagaimanapun gagal menawan ahli keluarga yang lain apabila tiga anak mangsa dan suaminya dapat meloloskan diri dengan terjun dari tingkap bilik.

Senario sahur itu bertukar menjadi drama tebusan yang kemudiannya berakhir dengan tragedi berdarah apabila Raja Noriana yang berusia 41 tahun itu, ditikam di leher dan belakang tubuhnya di bilik tidurnya sendiri, selain rusuk kirinya dikelar.

Polis cuba berunding dengan penjenayah itu apabila mereka menjadikan Raja Noriana sebagai tebusan selama empat jam di rumahnya sendiri, di D’ Kayangan, Seksyen 13 Shah Alam, pagi itu.

Kerana bimbangkan keselamatan mangsa, polis mengambil tindakan nekad dengan menyerbu rumah itu pada jam 8.20 pagi, sekali gus menembak mati dua penjenayah terbabit.

Tragedi sahur berdarah itu adalah sekian banyak rentetan kes samun tetapi barangkali ia adalah yang paling pedih dalam sejarah keamanan di rumah sendiri.

0 respon: