Fazura dapat ‘hadiah hari jadi’: TIDAK BERSALAH


Pelakon terkenal tanah air yang menjanjikan dan berbakat besar, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura, dengan dada membusung dengan debaran menanti penghakiman Majistret Aizatul Akmal Maharani.

Insiden yang dikaitkan dengannya, iaitu tuduhan mencederakan suri rumah, Geraldin Mariana Wong, 32, di Bar Luna, Hotel dan Apartments Pacific Regency, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, kira-kira empat tahun lalu, berulang-ulang datang di kotak ingatannya. Ia seperti tayangan semula yang difastforward.

Di depannya, Hakim Mahkamah Majistret, Majistret Aizatul Akmal dengan tenang membacakan keputusan penghakimannya: Fazura dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan Mariana Wong.

Fazura yang mencatatkan nama dengan Gol dan Gincu itu, tidak dapat menahan sebak di dadanya. Ia ibarat empangan yang mula retak dan akhirnya pecah. Dengan dada subur dengan sebak, Fazura tunduk sebelum air mata keharuan mengalir deras yang turut diairi kegembiraan.

Sebaik saja prosiding tamat, Fazura dengan mata yang masih berkaca, pipi yang masih basah dan dada yang masih bergetar, berpaling ke arah galeri awam sambil meluru untuk memeluk ahli keluarganya.

Teman rapatnya, Cheryl Samad, turut dirangkulnya. Mereka berpelukan antara satu sama lain seolah-olah sudah lama berpisah, sambil Fazura tidak henti-henti mengucapkan syukur terhadap keputusan mahkamah itu.

Kegembiraan Fazura dikongsi bersama dengan Cheryl Samad

Ketika ditemui media, Fazura tidak sabar-sabar untuk berkongsi kegembiraan itu: “Sejak empat tahun lalu, inilah hari yang saya paling nanti-nantikan...saya sudah bersedia dengan apa saja keputusan mahkamah,” katanya dengan dada yang masih berombak-ombak.

“Hari ini menjadi hadiah terbaik untuk hari jadi saya yang ke-25, Sabtu ini,” sambungnya.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan wartawan sama ada dia serik untuk terus berhibur di lokasi yang terbuka, Fazura dengan berhati-hati menjawab, dia tetap akan meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Apa saja boleh berlaku pada diri kita tidak kira di mana-mana...namun kali ini, saya berjanji akan lebih berhati-hati,” katanya.

Fazura yang seksi dengan langkah baru untuk menggapai cita-cita dalam dunia lakonan

Hari yang mendatang bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk dirangkulnya, sekali meninggalkan fragmen duka yang pernah bergentayang dalam hidupnya.

“Saya bakal meraikan hari jadi ke-25 Sabtu ini...kemudian, saya akan mula mengikuti penggambaran filem terbaru bertajuk ‘Kau Pisau Cukur’ bersama Aaron Aziz dan Maya Karin,” katanya dengan senyum manis yang tergantung di hujung bibir.

Fazura sudah tentu tidak dapat melupakan butir-butir penghakiman Majistret Aizatul Akmal, yang menegaskan mahkamah menerima keterangan pembelaan daripada orang kena saman (OKS), iaitu Fazura yang mendakwa cuba beredar dari Bar Luna selepas kejadian pertama.

“Dalam keterangan itu, OKS mendakwa, ketika dia sedang beredar, pengadu datang dari belakang dan menarik rambutnya dengan kuat. OKS yang kesakitan cuba melepaskan diri dengan menghayunkan kasut di tangan kanannya ke arah pengadu.” Bicara penghakiman itu bagaikan lekat kukuh di hatinya di sebalik ombak besar di dadanya.

Tambah Majistret Aizatul Akmal lagi, keterangan OKS itu disokong saksi pembelaan kedua, Shahrizan Mohd Rodzi dan ketiga, Ahmad Razman Ahmad Razali, sebelum menyambung: “Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menerima penjelasan OKS, sekali gus memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.

Ayat itulah yang kemudiannya menjadi sinar yang menerangi mahkamah bagi Fazura. Ayat yang menjanjikan kehidupannya sebagai pelakon tidak tergendala. Ini kerana Fazura yang namanya mencanak naik lewat drama bersiri Ezora itu, mengaku tidak bersalah ketika dituduh buat kali pertama pada 9 Mei 2005, sekali gus membentuk plot baru dalam hidupnya apabila terpaksa naik turun mahkamah.

Sejak itu, dia yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, manakala pendakwaan dilakukan Cif Inspektor R Rukumar untuk dibicarakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000, jika sabit kesalahan.

Moga-moga dengan ‘hadiah hari jadi’ yang sungguh besar maknanya, Fazura lebih berhati-hati dalam mengatur langkah supaya kehidupan peribadinya tidak menjadi lumpur yang bakal terpalit pada dunia lakonannya. Alangkah sayangnya, sekiranya pelakon yang memiliki pakej yang lengkap daripada wajah yang cantik, penampilan yang mengagum dan lakonan yang menjanjikan terpaksa menguburkan masa depan yang cerah itu dengan perilaku yang boleh mendorong kepada dunia yang kelam.

Fazura, moga jadi lebih baik. Baik dari segi lakonan, juga dari segi tingkah laku!

Adaptasi dan gambar dari sini, sini dan sini.

0 respon: