Sumpah, Anwar bersumpah di Parlimen dan Ketua Pembangkang






Pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasminya menjadi pemimpin pembangkang di Parlimen selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh di Dewan Rakyat.

Pemimpin politik berkarismatik yang berusia 61 tahun itu, melangkah dengan yakin ke Parlimen pada jam 9.45 pagi dan tanpa ragu lagi mengangkat sumpah 20 minit kemudiannya selepas doa berkumandang di dewan.

Sumpah yang memegangnya sebagai AP yang bertanggungjawab untuk memastikan check and balance di Dewan Rakyat itu, sudah tentu memberikannya satu pengharapan besar, bukan saja daripada pengundi Permatang Pauh yang memilihnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat cahaya baru di ufuk politik negara.

Pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh (P44) yang lalu, Anwar menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi. Anwar mengaut 31,195 undi, manakala Arif Shah hanya memperoleh 15,524 undi, sedangkan calon dari Akim, Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan apabila mendapat 92 undi saja.

Sebaik saja selesai mengucapkan sumpah - ironinya lawannya sering mendesaknya untuk mengucapkan sumpah sepanjang pilihan raya kecil lalu - Anwar dengan langkah tidak teragak-agak mengambil tempat duduknya yang tiga minggu lalu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah kerusi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kerusi di sudut yang memang dikhaskan kepada Ketua Pembangkang itu, betul-betul berhadapan dengan kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini pernah menjadi rakan kabinetnya.

Tan Sri Khalid Ibrahim yang menjadi AP Bandar Tun Razak dengan senyum lebar menyambutnya - entah kebanggaan kerana Anwar bakal mengepalai mereka atau kerana berpeluang menyaksikan karismatik Anwar dari jarak yang paling dekat. Naib Presiden PKR, R Sivarasa (PKR-Subang) pula sesekali menoleh ke belakang untuk menyapa dan berbual dengan Anwar.

Anwar sudah tentu merasakan suasana Parlimen sekarang, berbeza berbanding pengalamannya dulu semasa beliau berada di bahagian yang kini diduduki bekas rakan kabinetnya seperti Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mahyudin Yassin.

Hampir tepat 10 tahun lalu, Anwar dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan atas tuduhan sodomi dan korupsi.

Kini, Anwar berada di Dewan Rakyat, untuk mengetuai pembangkang bagi memastikan check and balance berlaku di dewan yang mulia itu.

0 respon: