Erra hamil tiga bulan



Rileks, Erra baru hamil tiga bulan. Ini bukan saat melahirkan anak lagi. Ini baru scene dalam Anak Halal.


KUALA LUMPUR: Impian pelakon popular, Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, 34, untuk bakal bergelar ibu akhirnya menjadi kenyataan apabila dia disahkan mengandung tiga bulan.

Erra yang mula popular menerusi filem Sembilu mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 33, pada Oktober lalu.

Engku Emran ketika dihubungi mengesahkan berita itu sambil mengharapkan agar peminat dapat mendoakan kesihatan dan keselamatan isterinya.

“Erra disahkan mengandung bulan lalu dan kini kandungannya sudah pun berusia tiga bulan. Kami sangat gembira dengan berita ini dan berharap supaya peminat dapat mendoakan kesihatan isteri saya,” katanya yang tidak kisah mengenai jantina anak.

“Erra kini sedang sibuk di lokasi drama, jadi saya banyak menasihatkan dia supaya berhati-hati menjaga kandungan dan jangan mengangkat barang berat.

“Sebagai suami tentulah saya gembira kerana ini pengalaman pertama saya bakal bergelar bapa,” katanya yang tidak kisah mengenai jantina anak.

Erra dan Emran yang mula berkenalan rapat sejak Jun tahun lalu mengikat tali pertunangan pada 7 September tahun yang sama.

Mereka kemudian memilih 25 Oktober untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri. Majlis pernikahan diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala yang dihadiri kira-kira 400 tetamu.

0 respon: